Tatu PDRM 2011 bersempena sambutan hari polis ke-204 janji kelainan
Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
-Utusan Malaysia
PERSEMBAHAN tatu Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diperkenalkan sejak awal tahun 40-an lagi di depot polis yang bertujuan untuk memperingati peristiwa penting sejarah dan perkembangan pasukan itu.
Selain itu ia turut diadakan sempena acara-acara rasmi seperti Hari Kebangsaan, Tahun Melawat Malaysia, sambutan ulang tahun pemerintahan Raja-raja Melayu di Pahang, Perlis dan Johor serta tidak ketinggalan Peringatan Hari Polis.
Bagaimanapun ketika itu persembahan dibuat secara bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
Persembahan tatu memperlihatkan pelbagai keunikan, aksi dan kemahiran pelbagai cawangan PDRM, bertujuan merapatkan hubungan dengan masyarakat.
Kali terakhir diadakan pada 2006 namun bakal beraksi kembali di Stadium Merdeka, pada 29 dan 30 April ini dengan suntikan kelainan yang pasti akan menghiburkan penonton.
Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Muhammad Sabtu Osman, persembahan tatu tahun ini lebih menonjolkan kehebatan anggota wanita.
"Aksi anggota polis wanita menaiki motosikal sambil membawa 15 anggota wanita lain di atasnya dijangka menarik perhatian ramai selain aksi berkuda.
"Selain itu, persembahan akan dimulakan dengan gimik tebusan kapal terbang, pertunjukan lampu laser, kawad patung, kawad tanpa perintah, pancaragam, persembahan unit berkuda, akrobatik motosikal, payung terjun, paramotor dan gayung perang oleh Komando 69.
"Apa yang menarik kali ini aksi paramotor akan membuat lompatan di atas 12 kereta Perodua Kancil yang dibariskan," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Muhammad Sabtu berkata, penonton akan terus dihiburkan dengan aksi-aksi anjing unit K9 serta ketangkasan Unit Tindakan Khas (UTK) melakukan serbuan.
"Apa yang pasti kebanyakan aksi-aksi belum pernah dipertontonkan sebelum ini. Persembahan tatu pada 29 April dikhususkan untuk orang-orang kenamaan (VIP) dan keluarga PDRM manakala persembahan pada 30 April bermula 8 malam dibuka secara percuma untuk orang ramai," katanya.