Monday, February 22, 2010

Cabaran Politik Malaysia

Oleh KASSIM AHMAD

Politik di Malaysia kini kecamuk. Pakatan pembangkan yang memenangi dan menguasai lima negeri telah menampakkan apa yang kita sudah ketahui iaitu ketiadaan asas satu gabungan yang kukuh dan mantap.

Mereka sendiri sebenarnya tidak menyangka akan menang begitu besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12. Kemantapan dan kelangsungan pakatan pembangkang itu diselubungi tanda tanya. Idealisme yang bertanggungjawab bagi perubahan itu tidak boleh kekal tanpa realisme untuk melahirkan sistem yang lebih adil.

Mari kita selidik anasir-anasir yang bergabung untuk membawa perubahan dalam pilihan raya umum itu.

Pas asalnya serpihan daripada UMNO yang sudah berubah dari satu pimpinan yang progresif di bawah Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Prof. Dzulkifli Muhammad dalam dekad-dekad 50-an dan 60-an melalui 'Islam Melayu' di bawah pimpinan Asri Muda kepada pimpinan yang konservatif iaitu agresif dan jumud di bawah 'pimpinan ulama' acuan Iran sejak Yusof Rawa mengambil alih pimpinan Pas.

Oleh kerana pandangan hidup mereka bertunjangkan akhirat, yang makna sebenarnya kabur dan mereka sendiri tidak tahu, maka tidak ada konsep dan dasar perkembangan ekonomi dalam sistem mereka.

DAP pula sebuah parti demokratik-sosial yang didominasi oleh kaum Cina dengan dasar cauvinis 'Malaysian Malaysia' warisan PAP di bawah pimpinan Lee Kuan Yew. Jika mereka berkuasa di peringkat pusat, maka Perlembagaan kita akan mereka ubah dan banyak dasar akan bertukar. Huru-hara akan berlaku. Kita katakan ini bukan untuk menakutkan rakyat Malaysia kepada pemerintahan DAP. Kita mahu melihat DAP mengubah ideologi dan dasarnya supaya lebih sesuai dengan realiti hidup bermasyarakat majmuk di Malaysia.

PKR pula lahir daripada 'gerakan reformasi' Anwar Ibrahim yang telah disingkir dari jawatan Timbalan Presiden UMNO. Gerakan reformasi itu menarik pelbagai aliran ideologi yang mahukan perubahan, termasuk anasir-anasir sosialis yang berpecah dari Parti Rakyat. Ia bergantung kepada karisma Anwar Ibrahim tanpa suatu ideologi perjuangan dan dasar yang jelas dan kukuh.

Gabungan 'cacamarba' itu bukan tidak boleh berkembang menjadi kukuh dan kuat, tetapi ia memerlukan lebih daripada karisma seorang individu dan tempelan serpihan satu sosialisme. Ia memerlukan rumusan sebuah falsafah politik nasional yang boleh menyatukan rakyat Malaysia dan mewujudkan sebuah sistem pemerintahan yang lebih baik.

Dalam pada itu, kemampuan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bangkit semula masih belum jelas. Penyakit UMNO iaitu 'politik wang' adalah sebenarnya rasuah, pembaziran, pimpinan elitis yang terpisah daripada rakyat, suatu bentuk hegemoni.

Soalnya, bolehkah UMNO mengubati kesemua penyakit itu? Pimpinan baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan sedikit harapan. Jika beliau boleh mengikut jejak langkah bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak, pimpinannya mempunyai harapan yang cerah. Cogankatanya '1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' menarik dan sarat dengan makna dan kemungkinan.

Namun Najib menghadapi cabaran yang lebih besar daripada bapanya, kerana kemerosotan UMNO yang teruk dan krisis ekonomi dunia yang parah sekarang. Beberapa daya usahanya yang mengutamakan golongan miskin memberi sinar baru.

Amalannya 'pergi kepada rakyat' menggalakkan, tetapi beliau kena mengelak pembaziran seperti yang ditunjukkan dalam lawatannya ke Melaka, baru-baru ini. Malah beliau kena memberi arahan yang jelas dan tegas supaya kerajaan pimpinannya bukan sahaja menolak tetapi mahu menghapuskan pembaziran, baik dari segi wang atau guna tenaga. Pembaziran suatu daripada bentuk penyelewengan besar yang meruntun masyarakat kita ke bawah.

Pada dasarnya, hanya ada dua jenis politik dalam dunia ini iaitu politik puak humanisme yang berjuang untuk melaksanakan keadilan, dan puak oligarki (segelintir) yang menekan massa.

Kita tentu tahu sistem politik mana yang kita mahu. Kita mesti ada suatu falsafah politik nasional yang boleh mewujudkan sistem ini serta mendidik rakyat kita untuk mewujudkannya.

Falsafah ini mesti merangkumi semua aliran politik nasional dalam negara kita, iaitu nasionalisme Melayu, nasionalisme Malaysia, kerajaan yang adil berdasarkan permuafakatan nasional, dan internasionalisme dan humanisme yang tulen.

Sistem dwi-parti (kerajaan dan pembangkang) lahir dari sejarah Eropah yang tidak sama dengan sejarah Dunia Ketiga (yang kena jajah). Oleh itu, seruan supaya kita mewujudkan dwi-sistem (sistem dua parti) harus dicurigai. Sistem BN lebih mirip kepada sistem nasional yang kita sebut dan yang lebih sesuai dengan sejarah dan tradisi politik Dunia Ketiga.

Kita ambil iktibar dari politik Pas kini. Seperti yang telah kita sebutkan, Pas asalnya serpihan dari UMNO dan telah melalui tahap politik progresif di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin, politik keMelayuan di bawah pimpinan Asri Muda, dan politik 'pimpinan ulama' acuan Iran sejak Yusof Rawa memegang tampuk pimpinan hingga hari ini.

Oleh kerana kumpulan ini tidak mempunyai dasar ekonomi-politik yang boleh membangunkan rakyat, Kelantan yang mereka tadbir tidak boleh maju dan ketinggalan di belakang. Sekarang di dalam pakatan pembangkang, masih tidak jelas apakah dasar ekonomi-politik mereka. Kerjasama dengan DAP mengharuskan mereka menyokong dasar cauvinis parti itu. Keresahan timbul sekarang dalam Pas supaya mencari perpaduan dengan UMNO untuk mempertahankan Islam dan kepentingan orang Melayu.

Seperti kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mahathir, oleh kerana rakyat kurang percaya kepada parti-parti politik, baik kerajaan ataupun pembangkang, maka timbul badan-badan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan yang lebih aktif menyuarakan hasrat dan cita-cita rakyat. Kelemahan NGO itu jelas, iaitu ketiadaan ideologi yang sama dan hanya wujud sebagai kumpulan pendesak yang tidak mempunyai kuasa untuk mentadbir negara.

Kecamuk politik di Malaysia sekarang, dari satu segi merupakan refleksi kecamuk politik dunia. Kuasa-kuasa besar yang menguasai Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu mengongkong Iran daripada menjadi kuasa nuklear.

Dahulu mereka takut Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussein menjadi kuasa nuklear yang mengancam kewujudan anak emas mereka, Israel. Aneh dan malangnya pada waktu itu, Iran bersekongkol dengan Barat untuk menghapuskan Saddam Hussein. Berjaya dalam strategi itu, Barat sekarang menghadapkan kemarahannya dan ketidakadilannya kepada Iran pula. Akan berlakukah satu peperangan besar? Perang nuklear yang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel di satu pihak, dan Iran dan sekutunya, di pihak lain?

Seperti di dunia antarabangsa, kecamuk politik kita boleh mengundang bahaya besar. Satu malapetaka besar semacam '13 Mei' atau lebih buruk boleh berlaku jika kecamuk politik ini berterusan.

Menjadi tugas besar Najib dan pimpinan UMNO-BN, termasuk para pemimpin dari pakatan pembangkang yang rasional untuk duduk semeja serta merumuskan satu falsafah politik nasional Malaysia yang lebih kukuh dan mantap bagi mengatasi kecamuk politik itu serta membolehkan Malaysia terus maju ke hadapan. -utusan malaysia

Apakah nasib kita di masa depan..?jangan sampai pihak luar campurtangan.. Wallahhualam..

No comments:

Post a Comment